Aksesori Busana Wanita Melayu

Malay Women’s Fashion Accessories

aksesori busana melayu
Jahitan

Aksesori Busana Wanita Melayu

Aksesori atau barang perhiasan merupakan pelengkap kepada si pemakai tidak kira lelaki mahupun wanita. Sejak zaman pemerintahan Melayu lagi, pakaian dan perhiasan diri dianggap sebagai lambang atau kedudukan di dalam sesebuah masyarakat Melayu. Kebanyakan aksesori busana diperbuat daripada emas, perak dan tembaga serta mempunyai reka bentuk dan ukiran corak yang melambangkan nilai dan maksud tertentu.

Antara aksesori busana wanita Melayu dahulu yang popular adalah:-

Gelang

Gelang merupakan aksesori yang menjadi keistimewaan masyarakat Melayu khususnya kaum wanita dan ianya terdiri daripada Gelang Tangan dan Gelang Kaki. Gelang dibentuk dengan menggunakan dawai-dawai kasar yang dipintal bulat dan disadur atau dicelup emas. Golongan bangsawan akan menempah khas gelang mereka dan ianya diperbuat daripada emas atau perak. Aksesori gelang ini biasanya dipakai oleh wanita Melayu, India dan Cina Peranakan.

Dokoh

Dokoh merupakan aksesori pakaian tradisional wanita Melayu yang dipakai pada bahagian leher. Dokoh adalah loket rantai yang biasanya berbentuk bulan sabit atau bujur yang dipakai secara bertingkat, sama ada selapis hingga ke tiga lapis atau lebih. Dokoh diperbuat daripada timah, logam atau tembaga dan ianya sering dikelirukan dengan kerongsang atau kongsang. Pada zaman dahulu, dokoh digunakan sebagai alat perhiasan bagi pengantin wanita dan digayakan bersama baju Kebaya.

Kerongsang

Kerongsang atau kongsang merupakan sejenis penyemat untuk mencantumkan belahan baju atau kerudung supaya tidak terbuka. Wanita Melayu akan memakai tiga kerongsang yang berbentuk serupa dan ada juga yang memakai bentuk yang berlainan. Kerongsang boleh dipakai secara tunggal dan ada yang dipakai secara bertingkat dan berantai, dimana ianya bergantung pada status kekayaan si pemakai.

Pending

Pending merupakan aksesori pakaian wanita Melayu yang mempunyai fungsi seperti tali pinggang. Pending telah direka dan dihiasi dengan berbagai-bagai motif dan bentuk seperti mata manusia, bulat, segi empat dan sebagainya. Pending biasanya dipakai oleh kaum lelaki dan wanita Melayu sebagai pakaian istiadat dimana kaum lelaki akan menggunakan Pending untuk mengikat kain dan samping manakala kaum wanita akan memakai Pending pada bahagian pinggang di luar busana tradisional.

Cucuk Sanggul

Cucuk Sanggul merupakan salah satu perhiasan diri bagi kaum wanita Melayu, India dan Cina Peranakan. Kebanyakan wanita Melayu pada zaman dahulu memiliki rambut yang panjang kerana mempunyai sifat feminin. Wanita Melayu akan menggunakan Cucuk Sanggul untuk menyemat atau menahan rambut panjang mereka dalam sanggul di belakang kepala supaya tidak terburai.

Emas dimiliki berkati-kati,

Tangan dihiasi cincin dan gelang,

Ramai tertanya dan ternanti-nanti,

Tunggu saja jawapan nanti ditayang

Tinggalkan pandangan anda di sini

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

ms_MYBahasa Melayu

Anda seorang
ibu bapa tunggal ?
a student ? underprivileged community ?

Ingin membina
kemahiran baru atau
menjana pendapatan tambahan ?

Komuniti Rakan KREASI B40 menawarkan anda cara dan sokongan untuk berjaya!