Busana Tradisional Wanita Melayu Mengikut Negeri

Malay Women’s Traditional Dress by State

busana tradisional negeri
Jahitan

Busana Tradisional Wanita Melayu Mengikut Negeri

Kepelbagaian kaum dan budaya adalah salah satu keunikan negara Malaysia. Setiap negeri mempunyai adat dan budaya yang unik dan berbeza dari segi bahasa loghat, makanan dan juga busana tradisional. Setiap negeri mempunyai keunikan busana tradisional tersendiri antaranya:

1. Perlis

Baju Kebaya Labuh Perlis ialah busana tradisional bagi kaum wanita di Perlis. Baju Kebaya Labuh Perlis adalah baju berpotongan moden yang berbelah di hadapan. Busana ini akan diserikan dengan pemakaian kerongsang di bahagian lipatan hadapan baju. Baju kebaya ini kebiasaanya diperbuat daripada material songket yang biasanya dipakai oleh golongan bangsawan.

2. Kedah

Baju Kurung Kedah ialah busana tradisional bagi kaum wanita di Kedah. Baju Kurung Kedah dipercayai berasal dari Selatan Thailand. Busana tradisional ini menyerupai baju blaus pendek yang dibuat singkat hingga ke paras punggung. Kurung Kedah diperbuat daripada kain kapas (cotton) yang berbunga kecil atau kain kasa tebal/nipis yang jarang. Di bahagian leher berbentuk potongan bujur sireh dan busana ini kebiasanya dipadankan bersama kain sarung. Baju Kurung Kedah disifatkan sebagai pakaian seharian ataupun sebagai pakaian basahan.

3. Pulau Pinang

Baju Kebaya Sulam ialah busana tradisional yang sering dipakai oleh kaum wanita di Pulau Pinang. Kaum wanita seperti kaum Nyonya dan Chetti lebih gemar memakai baju Kebaya Sulam dengan kain batik dan selendang. Baju Kebaya Sulam ini disulam dengan motif bunga-bungaan dan dihiasi dengan kerongsang.

4. Perak

Pakaian Puteri Perak merupakan pakaian rasmi kesultanan Perak. Busana jenis ini agak sukar dilihat pada masa kini. Reka bentuk baju kurung ini juga amat berbeza daripada baju kurung yang lain kerana ia perlu dipakai dengan seluar dan sampin serta disesuaikan dengan selendang panjang dari fabrik songket bunga penuh. Rekaan baju kurung ini juga mempunyai persamaan dengan baju kurung cekak musang kerana memiliki kolar di bahagian leher.

5. Selangor

Baju Kebaya Labuh Selangor atau "The Malay Dress" ialah busana tradisional bagi kaum wanita di Selangor. Kebaya Selangor mempunyai ciri yang longgar dan labuh melepasi lutut, berkekek dipakai secara selisih, berpesak empat di hadapan, dilipat di bahagian leher dan hujung lengan lurus. Busana ini biasanya dipadankan dengan selendang kain songket ataupun sifon.

6. Wilayah Persekutuan

Wanita di Wilayah Persekutuan akan memakai Baju Kebaya Labuh berpotongan moden yang berbelah di bahagian hadapan. Material busana ini diperbuat daripada fabrik songket bunga tabur. Kaum wanita akan memadankan busana ini dengan selendang sebagai pelengkap.

7. Negeri Sembilan

Kaum wanita di Negeri Sembilan akan memakai Baju Kurung Teluk Belanga yang dipadankan dengan kain sarung dari fabrik songket tenun bunga penuh. Bagi wanita bangsawan yang berketurunan Minangkabau, pakaian baju kurungnya diperbuat daripada kain baldu bersulam benang emas yang bertakhtakan labuci. Kain sarung pula diperbuat dari kain songket penuh yang ditenun khas dari Pandai Sikek atau dari Batu Bara di Sumatera. Kaum wanita akan memakai hiasan kepala yang dipanggil Sunting dan dilengkapkan dengan lapik dada dari fabrik baldu berlekat manik labuci.

8. Pahang

Baju Kurung Riau Pahang ialah busana tradisional bagi kaum wanita di Pahang. Jenis Baju Kurung ini dikenali sabagai Baju Kurung Riau Pahang. Busana ini juga dikenali sebagai Baju Belah atau Baju Kebaya Turki. Baju kurung ini dikatakan sebagai simbolik menyingkap sejarah pertalian antara kedua negeri Riau dan Pahang. Di kedua-dua bahagian tepi baju Kurung Riau Pahang ini mempunyai potongan berpesak kembang yang disambungkan dengan kekek gantung. Kaum wanita juga akan memakai busana ini beserta selendang panjang dari fabrik songket tenun.

9. Terengganu

Kaum wanita di Terengganu akan memakai Baju Kurung berpesak yang diperbuat daripada fabrik songket tenun bunga tabur Terengganu yang dihasilkan dari benang emas. Busana ini juga dipadankan dengan seledang panjang dari meterial songket bunga tabur berbenang emas. Kaum wanita akan memakai cucuk sanggul, rantai leher dan gelang tangan sebagai pelengkap pakaian ini.

10. Kelantan

Busana Cik Siti Wan Kembang ialah busana tradisional bagi wanita di Kelantan. Kaum wanita akan berpakaian kain songket panjang yang dibelit sebagai kain sarung. Kain limar punca potong dililit kemban jantan dan kemaskan dengan tali pinggang serta pending. Busana ini turut dilengkapkan dengan selendang panjang songket Jong Sarat sebagai penutup bahu.

11. Johor

Baju Kurung Teluk Belanga telah diperkenalkan sewaktu pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar. Baginda telah mengubah rekaan baju kurung tersebut supaya baju labuh hingga bawah lutut. Baju ini juga ditambah kocek dan mengenakan kain bersusun di sebelah kiri. Cucuk sanggul juga dipakai sebagai aksesori utama dan kain Dagang Luar dipegang di paras pinggang serta dijadikan kain kelubung untuk menutup kepala apabila berada di khalayak ramai. Baju kurung Teluk Belanga ini sangat popular dalam kalangan masyarakat Johor dan dipakai pada hari perayaan dan apabila menghadiri majlis tertentu.

12. Melaka

Kaum wanita di Melaka akan memakai Baju Kurung Teluk Belanga yang mempunyai potongan labuh dan longgar. Busana ini dipadankan dengan kain jenis batik, songket atau sutera. Kainnya pula diikat dengan ikatan yang dipanggil Ombak Mengalun dan wanita Melaka akan hiasi kepala dengan memakai Sanggul Lintang. Sanggul Lintang dinamakan kerana perletakkan dan bentuk sanggul itu melintang di atas kepala. Kaum wanita Melaka juga akan menghiasi dada dengan Sibar Layang atau lapik dada dari fabrik baldu berlekat manik dan labuci.

13. Sabah

Busana tradisional wanita Kadazan Papar dikenali sebagai Sia. Busana ini diperbuat daripada kain baldu yang separas pinggang dan dipadankan bersama kain paras lutut yang dipanggil Gonob. Wanita Kadazan juga akan menghiasi bahagian kepala dengan topi Papar/Siung dan memakai aksesori tali pinggang syiling Perak.

14. Sarawak

Busana tradisional bagi kaum wanita Iban pula akan memakai Selampai, selempang yang menutupi dada dan dilengkapkan dengan lapik sulaman manis. Wanita Iban juga memakai Kain Karap yang diperbuat dari kain tenun Pua Kumbu. Di bahagian kepala pula wanita Iban akan memakai hiasan kepala yang diperbuat daripada Perak dikenali sebagai Sugu Tinggi dan Sugu Rengkap.

Perbezaan budaya tidak menjadi halangan buat rakyat Malaysia untuk terus hidup harmoni dan rasa cinta akan negara.

Jauh Selatan Menuju ke Barat,

Singgah Sejenak di Kota Pekan,

_________ Tanggal Keramat,

Segala Persoalan Akan Dirungkaikan.

Tinggalkan pandangan anda di sini

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

ms_MYBahasa Melayu

Anda seorang
ibu bapa tunggal ?
a student ? underprivileged community ?

Ingin membina
kemahiran baru atau
menjana pendapatan tambahan ?

Komuniti Rakan KREASI B40 menawarkan anda cara dan sokongan untuk berjaya!